Monday 21 May 2012

komputer kurangkan aktiviti kanak-kanak

 
 MENURUT Pakar Pendidikan Awal Kanak-kanak, Universiti Pengurusan dan Teknologi (UMTECH), Prof Dr Bustam Kamri, lambakan gajet seperti komputer riba dan tablet di pasaran sememangnya tidak dapat dihalang. Ini kerana teknologi ini akan terus berkembang pesat sejajar dengan kemodenan sesebuah negara. Bagi menyatakan sama ada kehadiran pelbagai aplikasi komputer ini menjejaskan emosi dan sosial kanak-kanak, ia bergantung kepada cara menggunakannya. Ia boleh membawa kesan positif sekiranya digunakan dengan betul dan kesan negatif sekiranya tidak dikawal ibu bapa. Berbanding pengajaran secara manual, komputer dapat menarik minat kanak-kanak terutama pada kesan bunyi dan grafik yang memaparkan pelbagai warna. Dalam hal ini kanak-kanak menjadi pemerhati orang dewasa dan berkeinginan melakukannya. Perisian bersesuaian dapat memupuk minat kanak-kanak kepada permainan kreatif, menguasai pembelajaran dan penyelesaian masalah. “Ini kerana kanak-kanak boleh mengikut rentak dan tindakan orang dewasa. Mereka boleh mengulangi proses atau aktiviti seberapa kerap dan membuat eksperimen menerusi pelbagai cara. Mereka juga boleh bekerjasama dengan rakan lain dan orang dewasa untuk membuat keputusan dan berkongsi penemuan dan reka cipta yang ditemui,” katanya. Menurut Prof Bustam, berdasarkan penyelidikan didapati penggunaan komputer boleh mengurangkan kreativiti kanak-kanak jika mereka menggunakan perisian secara latih tubi. Ini terbukti menerusi satu kajian dijalankan terhadap penggunaan perisian latih tubi di bilik darjah yang menunjukkan kanak-kanak mengalami penurunan 50 peratus daripada segi kreativiti. “Sekiranya mereka menggunakan bahan perisian secara terbuka, ini tidak akan menjejaskan kreativiti mereka. Namun tidak semua pendidik dan ibu bapa mendapat pendedahan pemilihan bahan perisian yang bersesuaian untuk kanak-kanak,” jelasnya. Ramai ibu bapa memberikan pelbagai perisian sama ada dibeli atau dimuat turun menerusi Internet. Penggunaan komputer tanpa menilai kandungan bahan perisian akan meninggalkan kesan negatif terhadap emosi dan sosial. Dalam hal ini, ibu bapa jangan mudah terpengaruh dengan kulit muka depan yang tertera bahan perisian tanpa membuat tinjauan kandungan terlebih dulu. Seharusnya pemilihan bahan hendaklah bersesuaian dengan tahap usia dan nilai budaya setempat. “Pastikan perisian seperti isi kandungan, grafik dan bahasa digunakan sesuai mengikut tahap umur dan perkembangan anak-anak. Sebelum membeli permainan video atau dimuat turun di Internet baca isi kandungan di dalamnya. Pastikan ibu bapa melihat terlebih dulu bahan di dalamnya sebelum membenarkan anak-anak bermain,” katanya. Elakkan memberi pendedahan dengan unsur keganasan. Didik kanak-kanak bahawa komputer hanya sebagai salah satu alat pembelajaran saja. Kebanyakan kanak-kanak boleh duduk bermain di hadapan komputer disebabkan ganjaran dan tawaran dalam permainan itu. Oleh kerana adanya sifat ingin tahu yang tinggi justeru mereka bermain berterusan sehingga dapat mengetahui apakah yang berlaku pada penghujung permainan itu. Lama-kelamaan mereka menjadi ketagih dengan permainan komputer. “Sekiranya ketagihan itu berterusan, kecerdasan interpersonal (hubungan sesama manusia) mereka tidak akan berkembang. Ini kerana mereka hanya duduk bermain tanpa menggunakan otak. Mereka juga akan memikirkan bagaimana dapat menang. Daripada sudut sosio emosi, kanak-kanak akan mempunyai sifat pentingkan diri sendiri dan tidak ingin mengalah. “Sekiranya perkara ini diadaptasi dalam kehidupan seharian sebagai contoh di tadika, kanak-kanak seperti ini tidak mahu berkongsi barang permainan dan jika menyertai pertandingan, mereka akan cuba mendominasi pertandingan itu tanpa rasa ingin kalah,” katanya. Selain itu, meluangkan banyak masa di hadapan komputer akan menyebabkan kurang masa berkomunikasi dengan rakan sebaya atau orang dewasa. “Pada hal kemahiran komunikasi pada usia kanak-kanak sangat penting bagi membangunkan kemahiran sosial mereka seperti memerhati, mendengar dan berbual dengan orang lain,” katanya. Lebih penting permainan video yang tidak dikawal boleh mendedahkan unsur seksual dan keganasan serta memberikan kesan negatif kepada perlakuan dan pemikiran kanak-kanak malah mereka turut menjadi mangsa seksual di Internet.

Bila Anak Belum Boleh Membaca?



Luahan hati seorang ibu apabila anaknya belum boleh membaca yang pada ketika itu kanak-kanak yang sebaya dengan anaknya telah pandai membaca.
Saya mempunyai seorang anak yang berumur enam tahun. Saya berasa risau kerana dia belum boleh membaca. Padahal saya dedahkan kepada buku ketika dia masih kecil lagi. Sekarang di tadikanya pun dia diajar membaca dan menulis. Begitulah masalah puan Maria yang menghadapi anaknya yang belum tahu membaca. Hakikatnya ramai ibu bapa menjadi risau jika anak tidak boleh membaca apabila usia sudah menjangkau umur enam atau tujuh tahun. Sehubungan itu, para ibu bapa perlu melakukan sesuatu untuk mendidik anak-anak supaya boleh membaca dengan pantas. Apa yang harus anda lakukan ialah :

1. Jangan Rasa Tertekan
Perkara pertama yang perlu lakukan adalah relaks. Jika anak anda dapat merasakan kerisauan anda, dia juga akan merasa tertekan dan ini akan melambatkan proses dia belajar membaca. Lebih penting lagi, dia akan belajar membaca bukan kerana suka tetapi terpaksa. Anak akan cuba sedaya-upayanya, memaksa dirinya membaca untuk melegakan tekanan. Sekiranya dia masih tidak dapat membaca, dia mungkin akan rasa dirinya telah gagal dan mengecewakan ibunya. Dengan itu, ibu (maupun ayah) harus tenang. Ingatlah,masih ada ruang serta masa untuk membentuk kemampuannya.

2. Hargai Keistimewaannya
Setiap anak adalah istimewa. Elakkan daripada membezakan dia dengan kakak atau abangnya atau kawannya. Setiap anak mempunyai kemampuannya sendiri yang harus dihormati dan dikagumi. Membandingkan dia dengan yang lain hanya akan merendahkan maruah dirinya dan ini akan meninggalkan kesan negatif.

3. Kaitkan Dengan Minat
Teruskan mengadakan sesi bacaan dengan anak setiap hari tetapi pastikan bahan bacaannya menarik. Anak berusia 6 tahun sudah mempunyai citarasa serta kecenderungannya sendiri. Jika anak meminati bola sepak atau Ultraman, mempelajari perkataan tentang subjek-subjek kegemarannya ini adalah lebih bermakna baginya daripada membaca buku seperti “Peter and Jane”. Dengan itu tiada halangan untuk ibu atau guru menggunakan perkataan seperti Ultraman serta nama-nama pemain bola contohnya untuk menarik minatnya agar membaca. Adakalanya menghasilkan ayat yang mengandungi ciri-ciri yang digemarinya akan menyebabkan dia rasa teruja contohnya : “ Fahry menolong Ultraman melawan raksasa”. Bila anak suka dan merasa ada keperluan untuk membaca, dia akan berusaha gigih agar boleh membaca.

4. Lakukan dengan konsisten dengan penuh keseronokan.
Teruskan usaha menjalankan aktiviti membaca di rumah secara konsisten tetapi pada masa yang sama gunakan strategi yang berbeza untuk mencetuskan minat. Sesetengah anak harus diperlihatkan kenapa penting dia boleh serta suka membaca

a) Anda boleh melabelkan objek di rumah untuk dibaca bersama-sama. Selepas seminggu, ubah kedudukan label dan minta anak kesan kesilapan serta perbetulkan.
b) Sediakan satu kotak khas yang anda telah hiasi dengan cantil. Tuliskan serta nyatakan pada anak bahawa itu adalah kotak “ I can read” . Minta anak sebutkan perkataan yang disukai, tulis dan baca. Nyatakan pada anak dia kini sudah mengenali perkataan tersebut serta simpan dalam kotak. Hari berikutnya, minta anak nyatakan perkataan baru untuk kotak, tulis serta baca. Ulang baca perkataan pertama. Jika anak kelihatan seolah-olah telah lupa, jangan risau. Dengan tenang ulang baca perkataan tersebut.
c) Reka kad ala bingo menggunakan perkataan yang diminatinya.
d) Gunakan kad-kad imbasan lamanya untuk membuat ayat. Pastikan perkataan-perkataan yang digemarinya juga digunakan.
e) Susun kad-kad imbasan untuk menjadi ayat yang tidak lengkap. Mohon pertolongan anak untuk melengkapkan ayat.
f) Baca buku-buku yang melucukan atau buku-buku yang mempunyai rima atau perkataan yang diulang-ulang. Ramai anak suka membaca buku yang melucukan dan akan ingat perkataan-perkataan tertentu yang di anggap lucu.
g) Atau beli buku mewarna subjek kegemarannya. Hasilkan ayat berdasarkan gambar dalam buku dan jadikan dia buku baru dengan menggunakan kertas lukisan. Tunjuk dan baca bersama anak. Anak juga boleh diminta mewarnakan gambar-gambar tersebut. Atau ajak anak merangka ayat bersama-sama dan ibu boleh menulis untuknya jika dia belum mahir menulis.
h) Dorong anak melukis serta menceritakan apa yang ditulis. Ibu boleh menulis apa yang diceritakan. Atau jika anak sudah boleh menulis, bimbing dia menulis apa yang diceritakan.