Burger, kentang goreng, gula-gula, minuman
berkarbonat dan pelbagai makanan ringan lain memang digemari kanak-kanak.
Tidak semua yang digemari anak anda, baik untuk
mereka. Kanak-kanak perlu dididik untuk mengelak makanan yang tinggi kalori,
mempunyai kandungan lemak berlebihan serta mengandungi bahan pengawet. Sebagai
ibu bapa, didiklah mereka agar memilih makanan yang tinggi fiber, rendah lemah
atau makanan yang lebih sihat seperti yang mengandungi kalsium, zat besi serta
bervitamin dan mineral.
Sebenarnya, ada banyak makanan berkhasiat yang
digemari oleh kanak-kanak, cuma ramai ibu bapa tidak mengambil berat untuk
menerangkan kepada anak-anak mereka bahawa makanan tersebut perlu lebih
diutamakan.
Contohnya, susu yang merupakan sumber kalsium,
vitamin D dan protein yang baik untuk kanak-kanak. Sejak masih bayi, anak anda
minum susu, tetapi apabila besar sedikit, ramai yang terus berhenti minum susu.
Antara sebabnya ialah terdapat banyak minuman lain disediakan di rumah. Jika
pun begitu, cuba didik anak anda untuk terus minum susu dua hingga empat gelas
sehari, tambahan kini susu boleh didapati dalam pelbagai perisa.
Selain susu, kanak-kanak juga sukakan yogurt
yang kaya dengan kalsium. Sebaiknya, pilih yogurt yang kurang kandungan gula,
rendah lemak dan berkultur untuk anak anda.
Buah-buahan yang mengandungi vitamin, fiber dan
rendah kalori juga sebenarnya digemari kanak-kanak. Sungguhpun begitu ramai ibu
bapa tidak menyediakannya di rumah sebagai makanan ringan yang berkhasiat untuk
anak-anak. Sebaliknya ramai lebih gemar menyimpan kerepek, keropok, biskut
lemak dan pelbagai makanan ringan lain yang tidak berkhasiat untuk anak-anak.
Kebanyakan kanak-kanak juga gemar makan roti.
Ibu bapa pula perlu memastikan mereka menikmatinya dengan sesuatu yang enak dan
berkhasiat. Contohnya, mentega kacang, berbanding mentega, krim, keju atau
lain-lain makanan yang kaya dengan lemak. Mentega kacang juga tinggi kandungan
lemaknya, tetapi kebanyakan lemak tersebut adalah lemak mono dan poli tak tepu,
yang lebih sihat berbanding lemak tepu.
Selain menikmati roti dengan mentega kacang,
kanak-kanak juga sukakan sanwic. Sediakan sandwic tuna berserta salad dan
tomato segar. Tuna kaya dengan protein, omega-3 serta vitamin dan mineral. Jika
menggunakan mayonis dalam sandwic, pilihlah yang rendah lemak, manakala roti
pula yang berbijirin.
Untuk sarapan pagi, bijirin yang pelbagai perisa
seperti coklat, madu jarang ditolak kanak-kanak. Ibu bapa hanya perlu
menyediakan bijirin yang kurang manis, diperkuat dengan kalsium dan berfiber.
Bijirin boleh disajikan dengan buah-buahan agar kelihatan lebih menarik dan
sihat untuk anak anda.
Ramai kanak-kanak tidak suka makan sayur, tetapi
ada sayur-sayuran yang lebih digemari mereka. Contohnya, jagung, karot dan
kekacang. Karot contohnya, tinggi kandungan fiber, vitamin A, vitamin C dan
potasium.
Kanak-kanak juga sukakan biskut. Peranan ibu
bapa dalam memastikan mereka makan makanan yang lebih sihat ialah menyediakan
biskut yang kurang manis dan lemak. Sebaiknya pilih yang berbijirin seperti
biskut oat, biji bunga matahari yang kaya dengan fiber dan zat-sat lain.
No comments:
Post a Comment