Pemakanan yang baik penting untuk kesejahteraan
mental dan perkembangan fizikal kanak-kanak, khususnya pada tahun-tahun awal
tumbesaran mereka kerana ia asas kukuh demi kesihatan sepanjang hayat.
Menjadi lumrah setiap ibu bapa ingin memberikan
hanya yang terbaik kepada anak mereka. Sehubungan itu, ibu bapa memainkan
peranan penting dalam usaha memupuk tabiat pemakanan sihat.
Ibu bapa perlu tahu mengenai pemakanan baik dan
mengenali pilihan makanan yang sihat untuk anak mereka. Satu daripada isu yang
mereka hadapi ialah keperluan untuk memahami begitu banyak maklumat yang ada
dan seterusnya menentukan antara yang betul dan yang salah.
Jumlah kanak-kanak yang mempunyai berat badan
berlebihan dan gemuk semakin meningkat di Malaysia dan di seluruh dunia.
Satu daripada punca asas masalah ini ialah
ketidakseimbangan tenaga antara pengambilan dan penggunaan kalori.
Menambah kepada kemelut ini ialah kekeliruan
antara definisi dan fungsi gula, khususnya gula tambahan dalam diet
kanak-kanak.
Dengan memahami lebih lanjut mengenai gula dan
gula tambahan, ibu bapa boleh melakukan perubahan besar dalam meningkatkan
kualiti diet dan kesihatan anak mereka.
Adakah gula membawa kebaikan atau keburukan?
Berapa banyak gula harus diambil seorang kanak-kanak? Apakah gula tambahan yang
perlu diawasi? Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk menyokong
pendidikan pemakanan dan mewujudkan kesedaran mengenai pemakanan sesuai untuk
kanak-kanak yang membesar, Fonterra berbangga kerana terbabit membawa dua pakar
makanan dan pemakanan antarabangsa yang terkemuka ke Malaysia.
Pengarah Children’s Nutrition Research Centre,
University of Queensland, Australia, Prof Peter Davies dan Ketua Saintis,
Institute for Plant and Food Research, New Zealand, Dr John Monro berada di
Malaysia baru-baru ini untuk menyampaikan ucaptama sempena persidangan
saintifik bebas yang dianjurkan untuk golongan profesional kesihatan, ahli
akademik dan pegawai kerajaan mengenai gula tambahan dalam diet kanak-kanak.
Kata Davies yang membentangkan kertas kerja
bertajuk ‘Pentingnya Keseimbangan Tenaga dalam Diet Kanak-Kanak’, jika
kanak-kanak tidak mencapai keseimbangan antara pengambilan dan penggunaan
kalori, berat badan mereka akan meningkat dengan ketara.
“Karbohidrat merangkumi sebahagian besar
daripada pengambilan kalori kanak-kanak dan selepas dimakan, semua karbohidrat
akhirnya akan menjadi gula dalam badan.
“Karbohidrat seharusnya diambil daripada sumber
makanan yang tinggi dengan kandungan karbohidrat kompleks seperti kanji – tiada
keperluan sebenar bagi mereka untuk makan jumlah gula tambahan yang banyak.
“Memilih makanan yang padat dengan khasiat baik
dapat memastikan tubuh badan kanak-kanak menerima khasiat yang diperlukan untuk
perkembangan dan tumbesaran.
“Secara perbandingan, jika mereka mengambil
jumlah kalori yang sama daripada banyak gula tambahan, nilai khasiatnya adalah
terhad.
“Gula tambahan ini sering dirujuk sebagai
‘kalori kosong’ dan pengambilan berlebihan meningkatkan risiko berat badan berlebihan
dan kegemukan,” katanya.
Menurutnya, tindakan mengehadkan jumlah gula
tambahan dalam diet kanak-kanak memang disyorkan. Ibu bapa perlu sedar hakikat
ini apabila membuat keputusan mengenai jenis makanan dan minuman yang
disediakan untuk anak mereka.
Dr Monro yang membentangkan kertas kerja
bertajuk ‘Gula dan Gula Tambahan dalam Pelabelan Makanan’ berkata, sesetengah
makanan yang mengandungi gula yang terkandung secara semula jadi, gula tambahan
dan ramuan tertentu akan bertukar menjadi gula di dalam badan dengan cepat.
Bagaimanapun, disebabkan semua bahan ini
dihadamkan dengan pantas, sifatnya sama daripada segi pemakanan.
“Pada masa ini, wujud gula tambahan dalam
pelbagai makanan dan minuman yang diproses – malah sesetengah ibu bapa
menganggapnya sebagai sihat.
“Disebabkan nama ramuan yang kurang dikenali
digunakan, seperti sukrosa, maltose, dekstrin, sirap jagung dan sirap glukosa,
ramai ibu bapa sebenarnya tidak menyedari mereka memberikan anak terlalu banyak
gula,” katanya.
Dr Monro berkata, cara terbaik ialah mengikuti
panduan Panel Maklumat Pemakanan (NIP) dan senarai bahan ramuan pada label
makanan.
“Mengikut Garis Panduan Pelabelan Malaysia semua
gula, sama ada semula jadi atau ditambah, disenaraikan sebagai sebahagian
daripada karbohidrat, manakala kandungan serat disenaraikan secara berasingan.
“Jadi, di dalam susu tepung, semua kandungan
karbohidrat adalah gula. Dengan hakikat pelabelan ini, dan juga kerana kita
tahu bahawa paras laktosa secara semula jadi dalam susu biasa adalah kira-kira 11
hingga 12 gram setiap hidangan, bermakna jumlah karbohidrat dalam setiap
hidangan ialah petunjuk yang boleh dipercayai untuk menentukan anggaran gula
tambahan dalam produk susu.
“Paras yang jauh lebih tinggi daripada tahap
laktosa semula jadi menandakan penambahan gula tambahan,” katanya.
No comments:
Post a Comment