
Pada era pascamerdeka ini, kes
jenayah dan penculikan kanak-kanak semakin menjadi-jadi sehingga menjadi topik
hangat dalam media massa. Kes adik Nurul Huda Abdul Ghani yang telah meninggal
dunia dalam usia 10 tahun. Budak yang malang itu telah menjadi mangsa rogol dan
dibunuh oleh binatang yang betopeng manusia. . Kes adik Sharlinie dan adik
Asmawi yang masih belum ditemui. Kes-kes tersebut turut diperkatakan dari
warung kopi hingga persidangan parlimen. Kes-kes jenayah kanak-kanak telah
menggusarkan ibu bapa yang mempunyai anak yang seusia dengan kanak-kanak
tersebut. Untuk mengelakkan lebih banyak kanak-kanak menjadi mangsa kepada
manusia yang yang kedangkalan kemanusiaan, pelbagai langkah yang efisien patut
dilaksanakan untuk melindungi anak kita supaya mereka dapat hidup dalam dunia
yang aman, harmoni dan bahagia.
Untuk menangani masalah ini
daripada terus menjalar, ibu bapa memainkan peranan yang signifikan untuk
menyelamatkan cahaya mata yang dianugerahkan oleh Tuhan. Dalam konteks ini, ibu
bapa harus sentiasa memastikan bahawa anak mereka tidak lari daripada perhatian
mereka ketika berada di tempat awam, terutamanya di pasar malam, pasar raya dan
pusat beli belah. Kebanyakan kes kehilangan anak adalah berada di lokasi yang
penuh dengan orang ramai, terutama ketika jualan murah diadakan kerana ibu bapa
sibuk membeli belah. Ibu bapa perlu mengajar anak mereka serba sedikit
pendidikan seks, iaitu bahagian aurat badan mereka yang tidak boleh disentuh
oleh orang lain. Ibu bapa perlu membimbing anak mereka supaya menolak ajakan
atau pujukan orang yang tidak dikenali walaupun terdapat gula-gula yang enak.
Dalam masa yang sama, ibu bapa bertanggungjawab untuk memastikan anak mereka
tidak berseorangan sama ada di rumah atau di luar rumah. Contohnya adik Nurin
Jazlin membeli sesuatu di pasar malam sehingga tidak pulang untuk
selama-lamanya. Tegasnya ibu bapa perlu memikul tanggungjawab untuk menjaga
keselamatan anak kecil mereka.
Selain itu, media massa perlu
mendukung kewajipan untuk mencelikkan masyarakat kita supaya peka terhadap isu
ini. Media massa terutamanya media elektronik mempunyai pengaruh yang kuat
sekali terhadap masyarakat kita. Dalam situasi ini, pihak televisyen dan akhbar
perlu menyiarkan rencana atau rancangan yang berkaitan supaya masyarakat kita,
khasnya pengusaha tabika dan ibu bapa mengambil tindakan yang drastik untuk
mengelakkan anak buah mereka daripada menjadi mangsa kepada manusia yang
berjiwa binatang buas. Siaran daripada media massa dapat segera memancing
perhatian dan kerjasama daripada masyrakat untuk menghulurkan bantuan
bersama-sama demi menyelamatkan budak yang hilang atau kena culik. Dalam masa
yang sama, media elektronik patut menyekat rancangan ganas yang dapat
mempengaruhi orang ramai sehingga menbangkitkan nafsu yang dikutuk oleh Tuhan.
Bahan lucah yang berkaitan dengan seksual kanak-kanak harus dilarang sama
sekali sama ada dalam cakare padat digital cetak rompak ataupun dalam internet.
Adegan keganasan akan terserap ke dalam jiwa yang kedangkalan keimanan.
Senarionya, unsur keganasan akan diterjemahkan terhadap kanak-kanak yang tidak
berdosa. Natijahnya, semua media perlu menghalang rancangan yang berunsur ganas
dan berusaha menginsafkan masyarakat kita untuk menyelamatkan kanak-kanak kita
daripada menjadi mangsa.
Sementelahan itu, penguatkuasaan
undang-undang merupakan alternatif yang ampuh untuk membanteras gejala
tersebut. Hal ini demikian kerana hukuman yang ketat berupaya memperingatkan
orang ramai supaya tidak menganiaya kanak-kanak kita. Mereka yang mencabuli,
memperkosa, menculik dan mendera kank-kanak perlu dijatuhi hukuman yang berat,
seperti hukuman penjara mandatori, human sebat malar-malar hukuman gantung
sampai hati. Hukuman yang maksimum dapat menyebabkan golongan yang sering
mendampingi syaitan itu berasa serik untuk melakukan kesalahan tersebut.
Sehubungan dengan itu, pihak polis juga perlu membuat siasat dengan cepat dan
segera. Sindiket perdagangan manusia harus dibendung dengan segera. Alangkah
malangnya, terdapat kanak-kanak yang diculik ke negeri Thai dan Indonesia telah
dicacatkan untuk menjadi pengemis . Oleh itu, pihak penguat kuasa perlu
melaksanakan tugas mereka dengan komitmen supaya nyawa anak yang comel tidak
diragut oleh manusia yang tidak waras.
Natijahnya, anak merupakan
kurniaan Tuhan yang akan membawa kebahagiaan dan hiburan kepada keluarga. Anak
juga akan mewarnai masyarakat, nusa dan bangsa kita . Seisi masyarakat kita
bertanggungjawab untuk melindungi mereka supaya membesar dengan aman dan
sentosa. Janganlah kes jenayah kanak-kanak dan gangguan seksual menjadi fobia
kepada ibu bapa tentang keselamatan anak mereka. Jangan terhantuk baru
tengadah. Semua pihak yang terlibat tidak patut melepaskan batuk di atas tangga
dan berusaha dengan gigih untuk melindungi hak kanak-kanak.

No comments:
Post a Comment