Oleh
Prof.Madya Dr. Norimah A Karim (Pakar Pemakanan)
Susu
merupakan sumber pemakanan penting yang sering kali diambil ringan oleh ramai
orang. Ia bukan sahaja penting untuk kanak-kanak yang sedang membesar malah
sepanjang hayat.
Sebenarnya
susu atau susu badan, merupakan makanan pertama bayi dan satu-satunya sumber
pemakanan semasa enam bulan pertama kehidupannya. Ia membekalkan semua zat
makanan penting yang diperlukan untuk hidup dan tumbesaran.
Bagaimanapun,
susu masih perlu dijadikan sebahagian daripada diet kanak-kanak selepas usia
enam bulan. Di samping mengandungi kalsium, ia turut mengandungi zat makanan
penting lain seperti protein, vitamin A, riboflavin, zat besi dan fosforus yang
penuh dengan manfaat kesihatan.
Penyelidikan
sentiasa menunjukkan kanak-kanak dan dewasa yang minum susu akan kurang
berisiko untuk mendapat penyakit kardiovaskular, obesiti dan osteoporosis.
Mengapa susu?
Anda
mungkin tertanya mengapa susu penting dalam diet kanak-kanak. Mengapa tidak makanan
atau minuman lain?
Susu
kaya dengan kalsium. Kalsium disarankan untuk kanak-kanak yang sedang membesar
kerana ia memainkan peranan yang sangat penting dalam pembentukan dan kesihatan
gigi dan tulang yang kuat.
Pengambilan
susu yang mencukupi dari peringkat kanak-kanak bukan sahaja boleh mencegah
osteoporosis di kemudian hari, malah ia turut membantu mencegah kehilangan
kalsium dan fosfat daripada gigi bagi memastikan satu set gigi yang lengkap
sepanjang hayat.
Di
samping itu kalsium juga penting untuk melancarkan degupan jantung, pemulihan
luka dan pengecutan otot.
Menurut
Saranan Pengambilan Nutrien (zat makanan) atau RNI, kanak-kanak kecil antara
usia satu hingga tiga tahun memerlukan sekurang-kurangnya 500 miligram (mg)
kalsium sehari yang boleh diperoleh dengan mudah daripada 1-2 cawan susu.
Sebagai
satu daripada makanan yang paling lengkap zat, susu membekalkan sejumlah besar
zat makanan berbanding kepada jumlah tenaganya.
Sebenarnya,
segelas susu mengandungi lebih banyak zat makanan daripada segelas jus epal,
jus oren atau sebarang minuman lain (lihat jadual).
Susu
juga menghilangkan rasa lapar dengan segera. Tahukah anda bahawa 32.1 peratus
kanak-kanak di Malaysia tidak bersarapan pagi setiap hari.
Setelah
berpuasa selama 8-10 jam semasa tidur, sarapan pagi yang berkhasiat adalah
penting untuk mengembalikan tenaga.
Semua
orang tahu bahawa kanak-kanak yang tidak bersarapan pagi kurang bertenaga,
tidak dapat menumpukan perhatian di sekolah dan mudah letih serta rasa jengkel.
Segelas
susu suam adalah baik sebagai sarapan pagi ringkas dan segera, terutama sekali
apabila diambil bersama makanan lain, kerana ia sangat berkhasiat dan
mengandungi semua mineral dan vitamin penting yang diperlukan untuk tubuh dan
minda yang sihat.
No comments:
Post a Comment